MKM Ticketing Travel & Tours

Adakah boleh seseorang berihram dengan berkata, “Aku berihram dengan ihram seperti yang diihramkan oleh si fulan?”

Dalam melaksanakan haji, kebiasaannya jemaah akan melaksanakannya bersama pembimbing haji ataupun ketua rombongan yang lebih tahu tentang selok belok dan hukum hakam haji.

Ada ketika, terdapat jemaah yang ingin mengikut dan meniru apa yang dilaksanakan oleh pembimbing ataupun ketua tersebut. Sedangkan dia tidak mengetahui apakah yang diihramkan oleh mereka.

Lalu jemaah tersebut berihram dengan berniat dan berkata “Aku berihram dengan ihram seperti yang diihramkan oleh si fulan.” Maka hukumnya adalah harus dan sah ihram tersebut.

Kemudian jika dia mengetahui ihram si fulan itu sama ada berihram dengan ihram haji, umrah ataupun kedua-duanya maka dia perlu melaksanakan amalan-amalan mengikut ihram yang ditentukan oleh si fulan itu.

Namun, jika dia tidak tahu, maka ihramnya dikira sebagai ‘ihram mutlak’ dan harus untuknya bagi menentukan sama ada dia ingin melakukan umrah terlebih dahulu, haji terlebih dahulu ataupun kedua-duanya pada masa yang sama.

Para fuqaha’:

Bersepakat bahawa perkara ini adalah harus dan ihramnya sah. Mereka ‘beristidlal’ menggunakan dua hadis berikut:

“Jabir r.a. meriwayatkan: Ali r.a. kembali daripada pekerjaannya mengumpulkan sedekah-sedekah, maka Nabi s.a.w. bertanya kepadanya, ‘Kamu berihram dengan apa, wahai Ali?’ Ali berkata, ‘Dengan apa yang dihramkan Nabi s.a.w.’ Nabi s.a.w. berkata, ‘Maka, sediakan hadyu, dan tetaplah tinggal di Tanah Haram sebagaimana kamu sekarang.’ Kemudian Jabir berkata, ‘Ali r.a. kemudian menyembelih hadyu untuk dirinya’.” Hadis direkodkan Imam Nasaie