MKM Ticketing Travel & Tours

Adakah diharuskan bagi seseorang menukar ihramnya daripada ihram umrah kepada ihram haji atau sebaliknya?

Menurut pendapat jumhur al-Fuqaha:

Pada asasnya menukar ihram umrah kepada ihram haji ataupun ihram haji kepada ihram umrah adalah perkara yang tidak harus.

Namun, terdapat beberapa situasi dan pandangan yang mengharuskan perbuatan tersebut.

“Seandainya aku tidak membawa haiwan kurban ‘hadyu’ pasti aku akan lakukan seperti yang aku perintahkan kepada kalian.” (haji dengan kaedah Tamattu’)

Hadith Riwayat Imam Bukhari.

Berdasarkan hadith di atas, ini pandangan mazhab Hanbali:

Haji dengan kaedah tamattu’ adalah haji yang paling afdhal.

Oleh itu, mereka berpandangan bahawa menukar ihram haji kepada ihram umrah adalah disunatkan. Ini kerana dia bertukar kepada ihram yang lebih afdhal.

Sekiranya seseorang itu berihram haji dengan niat bagi melaksanakan haji dengan kaedah ifrad ataupun dia berihram dengan ihram haji dan umrah dengan niat bagi melaksanakan haji dengan kaedah qiran, maka disunatkan untuknya bagi menukar ihram haji kepada ihram umrah.

Disunatkan meninggalkan ihram haji untuk haji dengan kaedah qiran. Ini kerana ingin mengambil haji yang paling afdhal di sisi mereka iaitu Tamattu’.

Jika seseorang berihram dengan ihram ‘mutlak’ iaitu dia hanya berihram ‘nusuk’ tanpa dia menentukan sama ada ihramnya itu adalah ihram haji ataupun ihram umrah, harus baginya menentukan ihram apa yang ingin dilaksanakan.

Sama ada dia ingin berihram dengan ihram haji ataupun ihram umrah ataupun berihram dengan kedua-duanya. Kaharusannya disepakati oleh empat mazhab yang masyhur iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.

Kesimpulan:

  • Jumhur berpandangan bahawa menukarkan ihram haji kepada ihram umrah ataupun sebaliknya, tidak diharuskan.
  • Terdapat pandangan yang mengharuskan iaitu pandangan mazhab Hanbali, bahkan ia disunatkan berubah kepada yang lebih afdhal
  • Semua mazhab yang masyhur bersepakat bahawa harus jika niat pada awalnya adalah niat ihram secara mutlak.