MKM Ticketing Travel & Tours

Adakah wajib berihram apabila melintasi Miqat?

Menurut al-Hanafiyah, al-Malikiyah dan al-Hanabilah:

Wajib bagi sesiapa yang melintasi Miqat masuk ke Tanah Haram Mekah sama ada dengan niat bagi melaksanakan ‘nusuk’ (haji ataupun umrah) atau tidak. Ia sebagai satu tanda membesar dan memuliakan Baitullah al-Haram.

Jika seseorang melintasi Miqat tanpa ihram ‘nusuk’ (haji ataupun umrah) maka dia berdosa dan dikenakan dam.

Manakala, Al-Hanafiyah:

Berdosa dan dikenakan dam bahkan ia perlu diqada’ mengikut bilangan berapa kali dia sudah melintasi Miqat tanpa ihram.

 Semua ini dikecualikan kepada orang yang sering melintasi Miqat masuk dan keluar seperti pemandu dan sebagainya. Mereka tidak wajib berihram dengan ‘nusuk’ kerana jika diwajibkan ke atas mereka mungkin ada di antara mereka yang terpaksa sentiasa berada dalam keadaan ihram.

Al-Hanafiyah:

Pengkhususan pengecualian ini hanya bagi mereka yang tempat tinggalnya di Miqat atau kawasan yang berdekatan dengan Miqat.

Tiga pandangan ini kesemuanya berdasarkan hadith berikut:

Ibnu Abi Syaibah merekodkan dalam Musannafnya, daripada Ibnu Abbas RA:

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda, “Jangan kamu melintasi Miqat kecuali dengan berihram.”

Said bin Jubair RA merekodkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda,

“Seseorang tidak melintasi Miqat kecuali dengan berihram.”

Sebahagian al-Syafiiyah juga berpandangan dengan pandangan yang sama seperti tiga mazhab yang disebut sebelum ini.

Pandangan yang ‘asah’ dalam kalangan al-Syafiiyah adalah tidak wajib melintasi Miqat dengan ihram kecuali bagi mereka yang mempunyai ‘qasad’ atau niat bagi melaksanakan ‘nusuk’ (haji ataupun umrah).

Pandangan ini berdasarkan apa yang disebut oleh baginda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith:

“Nabi telah menetapkan Miqat bagi penduduk Madinah di Zul Hulaifah, bagi penduduk Najed di Qarnul Manazil dan bagi penduduk Yaman di Yalamlam. Dan begitu juga ketetapan bagi setiap orang yang datang melalui tempat- tempat tersebut selain penduduk negeri-negeri tersebut yang berniat untuk melaksanakan haji dan umrah. Bagi orang-orang selain itu (yang tinggal lebih dekat dengan Mekah daripada tempat-tempat itu), maka dia memulai dari tempat yang dijadikannya tempat tinggal dan bagi penduduk Mekah mereka memulakannya dari (rumah mereka) di Mekah.”

Hadith Riwayat Imam Bukhari.