MKM Ticketing Travel & Tours

Apakah hukum memakai selipar ketika ihram? Ada yang mengatakan bahawa memakai selipar yang menutup salah satu daripada jari kaki, dikenakan dam. Betulkah?

Seseorang yang berihram sama ada dia berihram dengan ihram umrah ataupun ihram haji terikat dengan 13 larangan ihram. Salah satu daripada larangan tersebut adalah larangan memakai kasut (yang menutupi semua kaki).

Perkara ini merujuk kepada sebuah hadis yang direkodkan oleh Ibnu Umar RA:

“Jangan pakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mempunyai selipar maka pakailah khuf yang sudah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang terkena za’faran ataupun wars (sejenis minyak wangi).”

Hadith Riwayat Imam Bukhari

Berbalik kepada persoalan adakah jika seseorang itu memakai selipar ataupun sandal yang menutup satu atau beberapa jarinya adakah dikenakan dam ataupun fidyah?

Dalam hadith tersebut, baginda Nabi Muhammad SAW menyebut larangan memakai khuf, kecuali dipotong bahagian yang menutup buku lalinya.

Ini memberi gambaran bahawa tidak dibenarkan pakai kasut ketika sedang ihram. Sebarang bentuk alas kaki yang akan menutup bahagian kaki adalah dilarang.

Pandangan pertama:

Tidak menutup kesemua bahagian kaki tidak bermakna mesti membuka kesemua bahagian kaki. Ini bermaksud jika menutup satu ataupun beberapa jari sahaja belum dikira sebagai menutup kaki. Masih dikira sebagai selipar.Maka bagi sesiapa yang memakai selipar yang menutup satu ataupun beberapa jarinya sahaja dan tidak menutup kesemua jarinya tidak dikenakan dam ataupun fidyah.

Pandangan lain:

Selipar ataupun ta’lin mesti membuka kesemua jari. Sekiranya memakai selipar yang menutup walau satu jari, maka akan dikenakan dam ataupun fidyah ke atasnya. Pandangan ini diambil berdasarkan ‘ihtiyath’ (langkah berjaga-jaga).

Kesimpulan

Dalam kebanyakan keadaan, jalan yang paling baik untuk dilaksanakan adalah menjauhi ‘khilaf’. Ini bertepatan dengan kaedah ‘keluar daripada khilaf itu perkara yang disukai (disunatkan)’.

Memakai selipar yang membuka kesemua jari adalah yang terbaik.

 Jika tidak mempunyai selipar yang membuka kesemua jari, kemudian memakai selipar yang menutup beberapa jari, maka ia masih tidak dikenakan dam ataupun fidyah. Ini bertepatan dengan larangan memakai khuf dimaafkan sekiranya bahagian yang menutup buku lali dipotong sedikit.

Selipar yang menutup beberapa jari lebih ringan daripada khuf yang menutup kesemua jari.