MKM Ticketing Travel & Tours

Jika seorang jemaah haji lelaki berniat haji bersyarat, di mana jika dia jatuh sakit maka beliau menjadi halal. Dan kemudian, ketika sampai di Arafah selepas masuk waktu wuquf beliau jatuh sakit. Dalam kedudukan ini adakah beliau sudah jadi orang halal dan bagaimanakah kedudukan tahallul awwal dan tahallul thaninya. Begitu juga bagaimanakah kedudukan rukun-rukun haji dan wajib-wajib hajinya?

Dengan jatuh sakit, jemaah tersebut telah menjadi orang halal. Beliau tidak lagi terikat dengan rukun dan wajib haji. Oleh itu, masalah tahallulnya serta rukun dan wajib hajinya tidak timbul lagi.

Namun, sekiranya sakitnya itu membawa kepada meninggal dunia, adakah jenazahnya itu disempurnakan seperti mana orang halal?

Ya, jenazahnya ditajhizkan seperti mana mayat orang yang tiada di dalam ihram (orang halal).

Apakah hukumnya sekiranya beliau telah jadi orang halal maka beliau berniat Ihram semula di Arafah dan seterusnya sempat berwuquf?

Niat ihram hajinya dan wuqufnya adalah sah. Oleh itu, beliau dikehendaki menyempurnakan rukun dan wajib haji serta tahallul awwal dan tahallul thani. Beliau juga akan dikenakan dam tertib dan taqdir kerana berniat ihram tidak di Miqat.