MKM Ticketing Travel & Tours

Ustaz, bagaimana kaedah menggabungkan dua ihram?

SITUASI PERTAMA:

                      Berihram haji sebelum memulakan tawaf umrah.

                      Jumhur al-Fuqaha’:

          Harus memasukkan haji ke dalam umrah sebelum (memulakan tawaf umrah) sama ada dia adalah penduduk Makkah ataupun orang luar daripada Tanah Haram, Mekah (al-Afaqiyin). Hajinya menjadi Haji Qiran.

Al-Hanabilah:

Sah jika dilaksanakan oleh penduduk luar Tanah Haram, Mekah (al-Afaqiyin) dan hajinya menjadi Haji Qiran.

Jika penduduk Tanah Haram, Mekah (al-Makkiyin) berihram umrah dan sebelum dia memulakan tawaf umrah, dia berihram haji pula, maka dia perlu membatalkan ihram umrahnya terlebih dahulu dan mengekalkan ihram haji.

Dia juga dikenakan dam rafadh  dan umrahnya perlu diqada’.

SITUASI KEDUA:

Berihram haji selepas selesai tawaf umrah.

Menurut al-Syafiiyah dan al-Hanabilah:

Tidak sah jika seseorang itu telah menyempurnakan tawaf umrahnya kemudian dia berihram haji pula.

Al-Malikiyah:

Sah (harus) berihram haji walaupun sudah menyempurnakan tawaf umrah. Maka hajinya menjadi Haji Qiran. Tetapi hukumnya makruh.

Al-Hanafiyah:

Jika seseorang yang sudah menyempurnakan tawaf umrah kemudian dia berihram haji pula, maka dia perlu meninggalkan ihram hajinya (bermaksud meninggalkan amalan- amalan haji seketika) dan mengekalkan ihram umrahnya dan melaksanakan umrahnya sehingga selesai.

Di sisi al-Hanafiyah, melaksanakan tawaf sebanyak empat, lima ataupun enam pusingan sudah dikira menyempurnakan tawaf kerana di sisi mereka, kadar terbanyak dikira sudah memenuhi kesempurnaan sesuatu amalan.

SITUASI KETIGA:

Berihram haji selepas memulakan tawaf tetapi belum menyempurnakannya.

Al-Malikiyah dan al-Hanabilah:

Sah jika seseorang itu memulakan tawaf, kemudian sebelum sempurna tujuh pusingan, terus berihram haji. Hajinya menjadi Haji Qiran.

Al-Syafiiyah:

Tidak sah ihram haji seseorang apabila dia telah memulakan tawaf umrahnya.

Al-Hanafiyah:

Sekiranya seorang penduduk Mekah (ahli Makkah) itu sudah melakukan tawaf umrahnya kurang daripada empat pusingan, kemudian dia berihram haji, maka dia perlu meninggalkan salah satu daripada ihram tersebut (haji ataupun umrah).

Di sisi al-Hanafiyah, sah melakukan perkara tersebut hanya kepada mereka yang bukan penduduk Tanah Haram, Mekah.