MKM Ticketing Travel & Tours

Ustaz, haji manakah yang lebih afdhal untuk kami laksanakan?

Haji boleh ditunaikan dengan tiga kaedah, sama ada dengan kaedah tamattu’, ifrad ataupun Qiran.

Daripada Aisyah RA, “Kami keluar bersama Nabi Muhammad SAW pada tahun haji wada’ (perpisahan). Ada sebahagian daripada kami yang sedang berihram umrah, ada yang sedang berihram haji dan umrah dan ada pula yang sedang berihram haji sahaja. Rasulullah SAW berihram haji. Adapun orang yang berihram haji atau menggabungkan haji dan umrah maka mereka tidak bertahallul sehingga hari ‘Nahar’, (10 zulhijah).”

Hadith riwayat Imam Bukhari.

Namun, antara ketiga-tiga jenis haji ini, yang mana satukah ‘afdhal’ untuk kita laksanakan? Bagi menentukan haji yang afdhal, semestinya haji yang pernah dilaksanakan oleh baginda SAW ataupun haji yang diperintahkan oleh baginda SAW.

Afdhal Haji Ifrad:

Merujuk kepada hadith yang direkodkan oleh Aisyah RA, al-Syafiiyah, al-Malikiyyah dan al-Awza’i berpendapat haji ifrad adalah kaedah haji yang paling afdhal kerana ia dilaksanakan oleh baginda SAW. Pendapat ini dikuatkan dengan Umar al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Thalib, Ibn Mas’ud, Ibn Umar, dan Jabir bin Abdillah RA yang juga berpendapat sama.

Afdhal Haji Qiran:

Manakala al-Hanafiyah berpendapat bahawa Qiran adalah jenis haji yang paling Afdhal ini berdasarkan hadith ini:

Telah datang kepadaku utusan daripada Tuhanku pada suatu malam dan utusan itu berkata, ‘Solatlah di Lembah yang diberkati ini dan katakan umrah dalam haji’.”

Hadith riwayat Imam Bukhari.

Hadith menjelaskan, ketika baginda SAW sudah berihram dalam ihram haji kemudian Jibril AS datang kepada baginda SAW dan menyampaikan perintah umrah dan haji. Maka, baginda SAW berihram umrah semula dan ini menjadikan baginda SAW sudah menggabung antara kedua ihram iaitu haji dan umrah. Berihram haji dan umrah adalah jenis haji qiran. Ini menunjukkan bahawa haji jenis qiran yang paling afdhal kerana ia pernah dilakukan oleh baginda SAW.

Jabir merekodkan bahawa “Rasulullah s.a.w. menggabungkan haji dan umrah, lalu melakukan sekali tawaf untuk haji dan umrah.”

Hadith riwayat Imam Tirmizi.

Hadith ini juga menjadi penguat bahawa baginda SAW melaksanakan haji secara Qiran.

Pendapat ini juga menjadi pilihan kepada beberapa ulama lain, antaranya Sufyan al-Thauri dan juga salah seorang imam besar dalam mazhab al-Syafiiyah iaitu al-Muzani.

Afdhal Haji Tamattu’:

Al-Hanabilah pula berpendapat bahawa haji yang paling afdhal adalah haji dengan kaedah tamattu’. Ini kerana tamattu’ adalah yang paling mudah untuk dilaksanakan dan bertepatan dengan apa yang disebut dalam hadith yang memerintahkan baginda SAW melaksanakan umrah dalam bulan haji. Pendapat ini menjadi pilihan Saidatina Aisyah RA, Ibn Abbas RA, dan Abdullah bin Zubair RA.

Kesimpulan:

Apa yang kita dapat simpulkan daripada semua pandangan di atas adalah, afdhal kita melakukan haji dengan mana-mana kaedah yang paling mudah bagi kita dan paling dekat dengan apa yang dilakukan oleh baginda SAW.