MKM Ticketing Travel & Tours

,
Jemaah Haji Patuhi Arahan Jaga Kad Nusuk

SHAH ALAM – Semua jemaah haji negara ini mematuhi arahan menjaga kad haji Nusuk sekali gus melancarkan perjalanan kerohanian ke khemah Mina yang menandakan permulaan ibadah haji tahun ini.

Menurut Pengarah Operasi Haji, MKM Ticketing, Travel & Tours Sdn Bhd (MKM), Dr Abdul Hadi Abdul Raman, disiplin tinggi yang ditunjukkan rata-rata jemaah Malaysia membolehkan semua proses keberangkatan ke Mina pada Jumaat berjalan seperti yang dijadualkan.

“Ia kerana semasa hendak menaiki bas untuk ke Mina, pihak bertanggungjawab yang dilantik oleh kerajaan Arab Saudi akan melakukan pemeriksaan kad haji Nusuk setiap jemaah.

“Sejak dari awal lagi, jemaah haji memang diingatkan untuk menjaga kad haji Nusuk ini kerana sekiranya ia hilang, jemaah tidak akan ada identiti yang disahkan dan akan menyusahkan mereka untuk memasuki Masjidil Haram dan tempat-tempat ibadah haji yang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada 3 Mei lalu dilapor melancarkan kad jemaah haji Nusuk yang mula digunakan pada musim haji tahun ini.

Pelancaran kad berkenaan adalah siri terbaru dalam pembaharuan diperkenalkan kerajaan Arab Saudi sebagai sebahagian usaha berterusan menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada jemaah haji.

Kad jemaah haji Nusuk bertujuan meningkatkan kecekapan prosedur operasi musim haji bagi memudahkan ibadah haji serta mengurangkan kadar individu mengerjakan haji secara haram.

Ia direka bentuk supaya mudah dibaca secara automatik dan memudahkan pekerja haji mengenal pasti serta mengesahkan identiti setiap jemaah, membantu menghalang individu yang tidak dibenarkan memasuki Tanah Suci, sekali gus dapat melindungi keselamatan jemaah.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Malaysia melakar sejarah apabila menjadi antara negara pertama menerima kad haji Nusuk berkenaan pada 19 Mei lalu.

Malah beliau difahamkan dilaporkan berlaku kes kecurian kad haji Nusuk itu di kalangan jemaah negara lain.

“Namun kita bersyukur bagi jemaah Malaysia setakat ini semuanya berada di bawah kawalan.

“Jemaah menaiki bas mengikut maktab khemah di Mina. Kemudian apabila sampai, jemaah diberikan makanan oleh pihak maktab sebelum jemaah diberikan kebebasan untuk melakukan aktiviti sendiri, solat jemaah dan mengikuti ceramah agama,” ujarnya.

Tambah Abdul Hadi, jemaah bermalam di Mina sehingga waktu Subuh pada Sabtu sebelum bergerak ke Arafah.

“Tiba di Arafah, jemaah telah menunaikan ibadah wukuf yang menjadi salah satu rukun wajib terpenting dalam pelaksanaan rukun kelima Islam ini.

“Ibadah ini yang berlangsung pada Hari Arafah juga disifatkan sebagai kemuncak kepada ibadah haji,” katanya.

Tambah Abdul Hadi, hari tersebut juga menjadi hari ALLAH SWT membebaskan hamba-NYA daripada api neraka.

Beliau memberitahu, disebabkan itu jemaah haji turut digalakkan memperbanyakkan zikir, solat sunat dan membaca al-Quran serta meninggalkan perkara sia-sia seperti berbual-bual dengan rakan atau menghisap rokok manakala bagi yang tidak mengerjakan haji, mereka disunatkan berpuasa pada Hari Arafah.

Katanya, selaku agensi pelancongan yang memegang Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) daripada Lembaga Tabung Haji (TH), MKM mengalu-alukan orang ramai untuk melayari laman web mereka di pautan www.mkm.my bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkembangan ibadah haji dan perkhidmatan pakej haji serta umrah yang ditawarkan mereka.

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Signup for our newsletter to get updated information, promotion & Insight
Download APP sekarang
Special Offer
Book now and let us guide you on a spiritual Journey
Get PROMO