Setiap jemaah yang menunaikan Umrah pasti akan melalui detik penuh makna apabila mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan, namun tidak ramai yang benar-benar memahami bahawa bilangan ini bukan sekadar simbol atau adat turun-temurun, sebaliknya satu ketetapan ibadah yang datang terus daripada Allah SWT dan ditunjukkan secara praktikal oleh Rasulullah ﷺ sebagai panduan yang wajib diikuti hingga ke hari ini.
Ibadah tawaf telah diperintahkan sejak zaman Nabi Ibrahim عليه السلام ketika Baginda membina Kaabah bersama anaknya Nabi Ismail عليه السلام, sebagaimana firman Allah SWT:
Surah Al-Hajj, ayat:26
“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang)”.
Ayat ini menjadi asas bahawa tawaf bukan amalan ciptaan manusia, tetapi ibadah yang ditetapkan secara langsung oleh Allah SWT sebagai lambang tauhid dan pengabdian mutlak kepada-Nya tanpa sebarang sekutu.
Bilangan tujuh pusingan dalam tawaf pula ditetapkan melalui sunnah Rasulullah ﷺ yang diriwayatkan dalam hadis sahih iaitu:
“di mana disebut bahawa apabila Nabi Muhammad ﷺ tiba di Mekah, Baginda memulakan tawaf di Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan kemudian menunaikan solat dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim” (Bukhari & Muslim)
Hadis ini menjadi dalil jelas bahawa tujuh pusingan bukan pilihan atau simbolik, bahkan satu ketetapan yang menjadi rukun sah Umrah dan Haji, dan para ulama sepakat bahawa tawaf yang tidak cukup tujuh pusingan adalah tidak sah.
Dalam Islam, angka tujuh sering dikaitkan dengan kesempurnaan ciptaan dan aturan Ilahi, sebagaimana firman Allah SWT:
Surah Al-Mulk, ayat:3
“Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?”
Surah At-Talaq, ayat:12
“Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu.”
Pola ini turut diulang dalam banyak amalan ibadah seperti bacaan Surah Al-Fatihah yang terdiri daripada tujuh ayat, lontaran tujuh batu dalam ibadah haji, sujud dengan tujuh anggota dan juga tawaf tujuh kali, semuanya mendidik manusia agar patuh kepada ketetapan Allah SWT walaupun hikmahnya tidak sentiasa dapat dicapai oleh akal semata-mata.
Tawaf juga menggambarkan keteraturan alam semesta di mana setiap ciptaan Allah SWT bergerak mengelilingi satu pusat, sebagaimana planet mengelilingi matahari, bulan mengelilingi bumi dan zarah mengelilingi nukleusnya, manakala manusia pula mengelilingi Kaabah sebagai pusat tauhid di muka bumi.
Seperti mana Firman Allah SWT,
Surah Ar-Ra’d, ayat:15
“Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.”
Dari sudut rohani, para ulama tasawwuf menjelaskan bahawa setiap pusingan tawaf melambangkan perjalanan hati seorang hamba yang bermula dengan meninggalkan dosa, membetulkan niat, melawan hawa nafsu, membersihkan jiwa daripada sifat mazmumah, mengisi hati dengan sabar dan syukur, meningkatkan cinta kepada Allah SWT dan akhirnya menyempurnakan penyerahan diri sepenuhnya kepada-Nya dengan penuh reda dan ketenangan.
Sebab itulah tawaf menjadi rukun sah Umrah yang tidak boleh ditinggalkan kerana ia menghimpunkan pergerakan jasad dan kepatuhan jiwa secara serentak, selaras dengan sabda Rasulullah ﷺ iaitu:
“Ambillah daripadaku cara dan amalan ibadah haji kamu, kerana sesungguhnya aku tidak mengetahui, barangkali aku tidak akan menunaikan haji lagi selepas hajiku ini.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1297)
Hakikatnya, tawaf tujuh kali bukan sekadar gerakan fizikal mengelilingi Kaabah, tetapi satu putaran hati yang mengingatkan manusia bahawa hidup ini perlu sentiasa berpusat kepada Allah SWT, sebagaimana seluruh alam bergerak menurut aturan-Nya, dan setiap pusingan tawaf itu membawa rahmat, penghapusan dosa serta peningkatan darjat bagi hamba yang melakukannya dengan penuh kefahaman dan keikhlasan, sebagaimana disebut dalam hadis bahawa Allah menurunkan rahmat dan mengangkat darjat hamba-Nya melalui ibadah ini.
Bagi jemaah yang merancang untuk menunaikan Umrah, memahami dalil dan hikmah di sebalik setiap rukun termasuk tawaf akan menjadikan perjalanan ke Tanah Suci lebih tenang, teratur dan bermakna, bukan sekadar melengkapkan syarat ibadah tetapi menghidupkan pengalaman rohani yang sebenar, dan inilah pendekatan yang sentiasa ditekankan oleh MKM agar setiap jemaah pulang bukan hanya dengan gelaran tetamu Allah, tetapi dengan hati yang lebih dekat dan tunduk kepada-Nya





