Ramai Salah Faham Tentang Doa Ketika Tawaf.

Antara persoalan yang sering timbul dalam kalangan jemaah Umrah ialah berkaitan doa ketika tawaf. Ada yang rasa tidak sedap hati kerana terlupa membaca doa, ada yang risau kerana tidak hafal bacaan tertentu, dan ada juga yang tertanya-tanya sama ada tawaf mereka sah atau tidak apabila lidah terdiam sepanjang pusingan.

Sebenarnya, kebimbangan ini sangat biasa berlaku, terutamanya dalam kalangan jemaah yang pertama kali menunaikan Umrah. Namun, penting untuk kita memahami asas ibadah ini dengan betul supaya ibadah dilakukan dengan yakin dan tenang.

Dalam ibadah Umrah, tawaf adalah rukun kedua yang tidak boleh ditinggalkan. Tawaf ialah mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan, bermula dari Hajar Aswad dan berakhir di tempat yang sama, dengan Kaabah sentiasa berada di sebelah kiri. Selagi syarat sah ini dipenuhi, tawaf tersebut sah dari sudut hukum.

Di sinilah sering berlaku salah faham. Ramai jemaah menyangka doa-doa tertentu mesti dibaca semasa tawaf, seolah-olah tanpa bacaan itu tawaf menjadi tidak sah. Hakikatnya, membaca doa, zikir atau selawat ketika tawaf adalah amalan sunat, bukan syarat sah dan bukan juga perkara wajib. Tawaf tetap sah walaupun seseorang tidak membaca doa tertentu atau hanya berzikir di dalam hati.

Walaupun tidak diwajibkan, Rasulullah ﷺ sangat menganjurkan agar tawaf diisi dengan zikir dan doa. Jemaah bebas berdoa dalam apa jua bahasa, mengikut kemampuan dan hajat masing-masing. Antara doa yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ ialah doa yang dibaca di antara Rukun Yamani dan Hajar Aswad sebagaimana diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim:

 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta peliharalah kami daripada azab neraka.)

Namun perlu difahami, doa ini adalah amalan sunat untuk menambah penghayatan ibadah, bukan syarat sah tawaf. Ada jemaah yang mampu membaca doa dengan lancar, dan ada juga yang lebih banyak diam kerana terlalu fokus atau terharu berada di hadapan Kaabah. Kedua-duanya tidak menjejaskan kesahan tawaf selagi rukun dan syaratnya dijaga.

Untuk memastikan tawaf dilakukan dengan sah, berikut merupakan beberapa syarat sah yang perlu diberi perhatian:
1) Suci daripada hadas kecil dan besar.
2) Suci daripada najis pada badan pakaian dan tempat tawaf.
3) Menutup aurat dengan sempurna.
4) Tawaf dilakukan sebanyak tujuh pusingan dengan yakin.
5) Menjadikan kaabah di sebelah kiri (mengirikan kaabah) dan berjalan ke hadapan.
6) Setiap pusingan bermula dan berakhir di sudut Hajar Aswad.
7) Tawaf dilakukan di dalam kawasan Masjidil Haram.
8) Mengekalkan niat tawaf.

Di MKM, kami sentiasa menekankan kepada jemaah bahawa Umrah bukan ibadah yang perlu ditunaikan dengan rasa takut dan tekanan, tetapi dengan kefahaman yang betul dan hati yang tenang. Fokuslah kepada rukun dan syarat sah ibadah, isilah tawaf dengan zikir dan doa mengikut kemampuan, dan serahkan selebihnya kepada Allah dengan penuh tawakal.

Kerana pada akhirnya, di hadapan Kaabah, yang Allah pandang bukan panjangnya bacaan atau sempurnanya lafaz, tetapi kejujuran hati seorang hamba yang sedang beribadah kepada-Nya.

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Signup for our newsletter to get updated information, promotion & Insight
Download APP sekarang
Special Offer
Book now and let us guide you on a spiritual Journey
Get PROMO