Shibuya selalunya sinonim dengan lampu neon, lautan manusia dan rentak kota yang tak pernah berhenti. Ia adalah wajah moden Jepun yang ramai kenal dan cari bila menjejakkan kaki ke Tokyo. Namun, di sebalik kesibukan itu, tersembunyi sebuah tempat yang menawarkan suasana bertentangan sepenuhnya iaitu tenang, damai dan penuh keindahan.
Di sinilah berdirinya Tokyo Camii Mosque, masjid paling besar dan paling indah di Jepun. Ramai pelancong Muslim yang pertama kali datang ke Tokyo terkejut bila tahu, hanya beberapa minit dari kawasan sibuk Shibuya, wujud sebuah rumah ibadah yang terasa begitu dekat dengan hati.
Tokyo Camii bukan sekadar masjid yang berfungsi untuk solat. Ia adalah karya seni bina yang menggabungkan kehalusan budaya Islam dengan keunikan Jepun. Masjid ini dibina semula pada tahun 2000 dengan bantuan tukang mahir dari Turki. Setiap ukiran, marmar dan kaligrafi Arab dibawa khas dari sana, menjadikan suasananya seolah-olah membawa kita jauh ke Istanbul walaupun masih berada di Tokyo. Menara setinggi 41 meter dan kubah besar yang dihiasi kaligrafi halus menjadikan Tokyo Camii antara mercu tanda Islam paling mengagumkan di Asia Timur.
Apa yang menjadikan tempat ini lebih istimewa adalah kisah di sebalik kewujudannya. Tokyo Camii bermula daripada komuniti Muslim kecil Tatar dan Bashkir dari Rusia yang berhijrah ke Jepun sekitar tahun 1930-an. Apabila kerajaan Turki membantu membina semula masjid ini, Tokyo Camii terus menjadi simbol persahabatan antara Jepun dan Turki. Dua negara yang berbeza latar budaya, tetapi disatukan oleh nilai hormat, keterbukaan dan kemanusiaan.
Menariknya, Tokyo Camii juga berfungsi sebagai Pusat Kebudayaan Turki. Pelawat boleh menyertai lawatan berpandu, melihat pameran seni Islam, menikmati suasana Halal Market, atau sekadar duduk menikmati ketenangan ruang dalaman masjid. Tempat ini terbuka kepada semua, termasuk pelawat bukan Muslim, menjadikannya salah satu lokasi terbaik untuk memahami Islam melalui pendekatan yang lembut dan penuh estetika.
Di luar masjid, Shibuya terus sibuk dengan langkah manusia dan bunyi kota. Namun sebaik melangkah masuk ke Tokyo Camii, suasana berubah sepenuhnya. Cahaya lembut yang menembusi kaca biru di bawah kubah utama, ruang dalaman yang luas dan senyap, semuanya memberikan rasa damai yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Bagi ramai pelancong, inilah momen paling bermakna dalam perjalanan mereka di Tokyo, satu perhentian yang menenangkan jiwa di tengah kota moden.
Bagi MKM Ticketing Travel & Tours, destinasi seperti Tokyo Camii inilah yang menjadikan sesebuah perjalanan lebih bernilai. Jepun bukan hanya tentang bandar futuristik dan pemandangan indah, tetapi juga tentang pengalaman budaya dan rohani yang jarang dijangka.Â





